Tuesday, 5 January 2016

Epilog

Terlebih dahulu, aku ingin ucapkan Selamat Berjaya untuk 66 orang pelajar aku yang akan menduduki Peperiksaan Akhir Aplikasi Komputer esok.

Aku harap anda semua tenang untuk peperiksaan esok. Jangan risau, masih ada masa untuk membaca. Bertanyalah sekiranya ada perkataan yang tidak difahami. Apakan daya, istilah komputer ada yang mengelirukan.

Apa lagi yang ingin aku katakan? Apa lagi yang perlu diungkapkan?

Tugasan dan Amali Makmal, semuanya sudah selesai. Pembentangan pun sudah. Rata-rata, aku berpuas hati. Tetapi, kalau disimpulkan secara penuh, mungkin aku sedikit kesal. Mungkin kerana ada platform untuk mengelak kegagalan, atau mengelak kesilapan. Aku harap anda semua mengambil iktibar dari pengalaman ini. Mungkin ada yang sangat perit, tetapi ianya tetap ada pengajaran.

Ini satu perjalanan singkat. Ini bukan pengalaman pertama aku. Kebiasaannya, akan ada beberapa kategori. Ada pelajar yang akan terus jadi "stranger" selepas ini. Ada yang bertegur sapa bila terserempak. Ada yang masih menjadi pelajar untuk subjek lain. Ada yang menjadi kawan. Tapi, bila tiba detik konvokesyen, harapannya agar ramai yang bertandang. Atau mungkin tinggal harapan kosong.

Aku mungkin bukan pengajar yang terbaik. Tapi, ambillah nasihat yang baik. Tinggalkan yang buruk. Aku tidak sempurna, tidak perlu dipersoalkan.

Untuk esok. Aku harap dapat bergambar dengan semua pelajar Aplikasi Komputer aku. Dua-dua kelas. Itu sahaja. Mungkin sebelum ini berlaku kesilapan kecil. Sepatutnya yang mudah, sesi bergambar selepas Sesi Pembentangan tempoh hari. Aku mohon maaf.

Selamat Berjaya, untuk apa sahaja.
Terima kasih untuk segalanya. Segalanya.


a z z w a n