Thursday, 24 December 2015

Prolog

Tiba masanya untuk penulisan prolog ini. Memang sengaja aku simpan untuk jadi yang kedua terakhir. Tapi, tanpa sengaja, ia tertangguh begitu lama. Maaf sekiranya ada yang menanti entri ini. Aku harap penantian anda tersebut tidak sia-sia. Tetapi, jangan ingat aku tidak mengikut peraturan. Entri aku sudah cukup 26 sebelum tarikh akhir.

Pada mulanya, aku sepatutnya mengajar satu kelas Aplikasi Komputer dan satu kelas Pengantar Pengurusan. Tetapi, jalan cerita tidak semudah perancangan manusia. Untuk pertama kalinya, dua kelas Aplikasi Komputer dalam satu semester. Aku tahu ianya tidak akan menjadi mudah. Aku tahu pengalaman baru ini akan membawa satu cerita baru.

Mungkin ada beberapa masalah teknikal atau bilangan yang memudahkan, bilangan pelajar bukan seperti biasa. Tidak pernah kelas aku sebelum ini kurang dari 41 orang pelajar. Tidak pernah. Tetapi, kali ini, bilangan akhir adalah 32 orang pelajar dan 34 orang pelajar.

Ia juga tidak sepi dari pengurangan dan penambahan.

Penambahan manual.
Mestilah kena bahan hampir setiap minggu.

Penambahan tanpa sengaja.
Kisah dua orang pelajar lelaki salah masuk kelas.

Penambahan tiba-tiba.
Kisah 4 orang pelajar yang di sana tidak dikehendaki, di sini apatah lagi.

Dan juga, misteri kehilangan seorang pelajar.

Akhir sekali, pemindahan kredit yang menyaksikan 3 orang pelajar dalam kenangan.

Apa sahaja yang berlaku, ada harganya. Apa sahaja yang ditetapkan, ada peraturannya. Apa sahaja yang disebut, ada analoginya.

Satu permulaan baru. Satu kisah. Satu pengharapan.

Mungkin aku perlu menjadi lebih tegas. Mungkin aku masih mengimbau prestasi pelajar sebelum ini. Mungkin aku perlu menambah peraturan. Mungkin aku perlu lebih menjarakkan diri. Banyak kemungkinan yang aku fikirkan. Banyak pilihan yang perlu aku buat.

Harapan aku pada mulanya, sama seperti sebelum ini, satu platform yang boleh difahami. Bukan hanya untuk menggarap ilmu aplikasi komputer, tetapi juga berkaitan kerjaya dan kehidupan. Aku tahu ianya sangat sukar, tetapi, tak salah mencuba kan.


a z z w a n

Monday, 21 December 2015

Harapan

Harapan. Satu perkataan yang boleh menggembirakan. Dan juga mengecewakan. Aku cuba untuk tidak berharap. Tapi, paling tidak, aku akan melihat dari terlalu banyak sudut. Masa yang diberi. Peluang yang tersedia. Amaran yang diulang-ulang. Kalau boleh, aku tidak mahu berharap apa-apa. Tapi, aku cuma manusia biasa.

Aku ucapkan selamat berjaya untuk semua pelajar aku yang akan menghadapi satu sesi pembentangan yang panjang. Aku berharap mereka tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. Datang awal. Bersedia dengan baik. Cuba sehabis baik. Berharap yang terbaik. Peluang ada satu. Jangan salah langkah.

Terima kasih atas segala usaha yang telah dicurahkan. Semoga usaha ini dapat diterjemahkan dengan menjadi hasil yang baik.

Selamat Berjaya.


a z z w a n

Sunday, 20 December 2015

Tali

Aku berterima kasih kepada Tuhan atas kurniaan yang diberikan. Setakat ini, aku mampu untuk mengingati nama. Paling tidak, nama pelajar yang berada di dalam kelas yang sedang aku ajar.

Aku cuba yang terbaik. Untuk buat lebih daripada itu, mungkin sukar. Aku tahu ada individu yang lebih penting dalam kalangan semua pelajar yang aku ajar dan pernah ajar, tapi mungkin salah aku untuk tidak buat lebih.

Aku mohon kemaafan. Aku tahu dalam apa-apa situasi, ingatan adalah satu perkara yang penting. Kita sendiri hidup atas satu tali halus. Tali halus yang mudah putus. Tali itulah yang aku lihat sebagai ingatan orang sekeliling. Aku mohon maaf.


a z z w a n

Saturday, 12 December 2015

12.12

Hari ini hari ke-12 untuk bulan ke-12 tahun ini. Aku harap semua orang masih tabah menghadapi minggu-minggu akhir untuk semester ini. Lebih kepada mengejar tarikh akhir dan sesi pembentangan. Tahniah kepada yang berjaya merancang kerja dengan baik. Bagi yang tidak bernasib baik, ambillah pengajaran. Jangan lupa kesilapan ini untuk semester akan datang. Tiada benda yang mudah di dunia ini. Kalau mudah pun yang kau dapat, mungkin itu masa kau bernasib baik. Kita pun memang banyak peluang sebegitu. Nasib baik.

"Aku tidak berharap untuk menjadi yang terbaik untuk sesiapa. Selama ini, aku cuma berharap agar usaha aku ini adalah yang terbaik. Bila difikirkan semula, untuk siapa? Untuk aku sendiri? Atau untuk orang lain?..."

"Kadang-kadang kita cuba menjadi kuat. Mungkin di mata orang lain, atau mungkin di hati mereka. Tetapi, adakah kita betul-betul kuat? Atau menjadi kuat adalah satu-satunya pilihan yang kita ada?..."


a z z w a n

Saturday, 5 December 2015

M.D.A. - Mimpi Dan Angan

Kadang-kadang aku dapat rasakan aku terlalu realistik. Tapi, kadang-kadang aku rasa seperti aku menipu diri sendiri. Mungkin juga satu jenaka. Adakah ini suatu realiti? Mimpi. Angan. Impian yang mungkin sukar dipenuhi. Tapi, kalau dilihat sendiri, memang aku yang memulakan. Memang aku yang mahu semuanya begini. Aku yang membuka pintu itu untuk pelajar. Aku yang sanggup menghadapi semua ini. Apalah salahnya bermimpi? Apalah salahnya berangan? Impian aku semoga ianya berpanjangan. Tapi, sehingga hari ini, sukar. Mungkin benar ini cuma impian seindah mimpi. Atau mungkin, angan tak sudah. Atau mungkin, takkan ada yang memahami impian ini sepenuhnya. Mungkin aku patut berhenti berharap.


a z z w a n

Wednesday, 2 December 2015

Pengumuman - Penting

Para pelajar, sila ambil perhatian terhadap semua pengumuman di bawah ini:
1) Pemarkahan untuk Aspek Teknikal Blog akan dimulakan pada Isnin, 07 Disember 2015. Aspek Teknikal ini adalah: Header, Label, Blog Archive, Layout, Widget dan Background. Sila bertindak segera untuk mengelakkan kehilangan markah.
2) Penulisan Blog (Tema dan Bebas) masih berjalan seperti biasa sehingga Minggu 14. Walaupun terlalu ramai yang memandang ringan terhadap tugasan ini, itu masalah anda, markah anda.
3) Pembentangan PowerPoint akan diadakan pada 21 Disember 2015, 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebarang maklumat lain akan diumumkan dari masa ke semasa.
4) Sekadar memberitahu, setakat hari ini, aku ditugaskan untuk Set 3 Komunikasi Perniagaan untuk Semester 2 nanti. Silalah elak sehabis mungkin, lebih-lebih lagi yang memang tidak boleh terima dengan cara aku. Jangan nanti menyesal sebab salah membuat pilihan.

Terima kasih atas perhatian yang diberikan.


a z z w a n

Friday, 27 November 2015

Nafsu

Persoalan tentang nafsu ini aku kaitkan dengan perkara yang berbeza sedikit. Bukan tentang pakaian, makanan atau keperluan harian. Untuk entri ini, aku lebih menyentuh tentang GRED. Nafsu ini selalunya tidak dapat dikawal. Tidak dapat dimengertikan. Sama seperti pengalaman yang aku lalui, ramai pelajar yang salah anggap. Ada yang menganggap seorang pengajar yang "fun & easy-going" akan memberi gred terbaik untuk semua. Ada yang menganggap gred yang baik bersamaan dengan kelas yang tiada, tugasan yang tiada, ujian yang tiada. Ada yang menganggap gred itu mengikut pemerhatian diri sendiri - "Aku dah buat habis baik dah, tapi kenapa tak dapat gred tinggi..." - apa kau ingat kau yang nilai diri sendiri. Kadang-kadang kau perlu berkorban lebih untuk satu perkara. Kadang-kadang kau bernasib baik mendapat satu perkara. Kadang-kadang kau tak layak pun dapat. Tapi selalunya kau lupa. Nafsu.


a z z w a n

Wednesday, 25 November 2015

T = Tomyam Popcorn

Untuk mula, biar aku promosi satu program ni dulu. Program Makan-Makan di Kolej Aminuddin Baki. Mula Isnin lepas, hingga Khamis ni, kalau tak silap.

Tajuk di atas lebih kepada apa yang aku dan budak-budak ni makan Isnin lepas. Memang sedap, panas-panas, tengah lapar.

Tapi, makanan cuma simbol. Simbolik. Di samping Tomyam Popcorn yang lazat, ada sedikit cerita. Kisah pendek.

Aku seronok bila ada ruang sebegitu. Interaksi bersama pelajar aku sendiri. Aku sedar pasti ramai yang memandang serong. Ramai yang mungkin sangsi. Ini bukan hari pertama aku begini. Ini bukan kali pertama terjadi.

Mungkin itu satu-satunya masa aku bercakap dengan kau. Kita bukan tuhan, apalah daya kita.

Yang penting, satu memori tentang Tomyam Popcorn sudah ada.

Tapi, tak tipu, Tomyam Popcorn tu sedap.


a z z w a n

E = Ego

Kalau nak dibandingkan, aku rasa susah bila bincang bab ego ni. Aku sendiri terlalu ego. Memang kebanyakan orang pun ego. Tapi, adakah boleh diterima kalau kau yang bersalah, tapi kau tetap ego? Kadang-kadang, letak tepi soal ego. Mohon maaf bukan perkara mudah. Memang susah, tapi kau ingat kau bagus, macam tak berdosa. Kalau kau yang bersalah dan lebih muda, masih nak ego? Masih?

Terpulanglah. Mungkin kau akan belajar sendiri melalui pengalaman kau. Mungkin kau akan rasa sendiri apa yang orang sekeliling rasa, apa yang aku rasa. Ingatlah, kita manusia biasa, pasti tak lepas dari melakukan kesalahan. Kau dah dewasa, pandai sendiri lah.

Selamat berjaya.


a z z w a n

Friday, 20 November 2015

Emosi / Tikam

"Kegagalan ini membuat ku tak berdaya..."

Hujan Kemarin, Taxi


Sebaik mungkin aku cuba kawal. Sebaik mungkin aku cuba sembunyikan. Tetapi, risiko untuk hilang kawalan bertambah dari hari ke hari. Aku tahu maksud rasional. Aku faham erti bersangka baik. Tetapi, aku diberi peluang yang sama? Aku dinilai atas perkara yang sama? Tahap yang sama?

Aku tahu aku selalu mengungkit. Selalu mengulang. Satu perkara yang dimaafkan perlu dilupakan. Tapi, kalau aku tak mampu untuk melupakan, adakah aku patut menipu? Adakah aku patut menjaga hati? Selepas hati aku dikoyak? Dibuang? Disiat-siat?

Bukankah hakikat - kau cuma cari aku masa kau susah, kau bukan ingat aku pun masa kau senang. Bukan itu hakikatnya? Aku pun manusia. Memang ada interpretasi tentang susahnya menjaga hati aku, tapi, aku rasa tetap ada orang yang mampu bertahan lama di 7.333. Pasrah? It's a long gone conclusion. Sedih? Kalau mengambil analogi, sudah kering air mata.

Aku harap yang terbaik untuk semua. Itu sahaja.


a z z w a n

Friday, 13 November 2015

Terima Kasih

Aku cuma mohon sedikit ruang untuk aku ucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja. Suka dan benci, kawan atau musuh, itu semua satu kurniaan. Sepanjang perjalanan hidup aku ini, aku sedar bahawa tanpa semua ini, mana mungkin hidup aku akan sebegini rupa. Tak perlu banding kejayaan atau kekayaan. Tak perlu terlalu gembira atau sedih.

Yang penting, terima kasih. Dan aku ulang, terima kasih untuk semua, samada secara langsung atau tidak langsung, samada sengaja atau tidak sengaja, samada yang pernah singgah sebentar atau yang masih mahu bertandang.

Ucapkanlah "terima kasih". Walaupun dia hanya mengambil pesanan makanan. Walaupun dia hanya membuka pintu untuk kita. Terima kasih untuk segalanya.


a z z w a n

Wednesday, 11 November 2015

11.11

Sempena 11.11, aku merasakan perlu untuk aku menulis sesuatu. Lebih kepada cacamerba. Pertama sekali, beberapa ingatan. Penulisan Blog masih berjalan, walaupun cuti midsem. Tugasan Access 2, jangan terlepas tarikh akhir. Tugasan PowerPoint, nampak senang-lenang sangat, jangan sampai menyalahkan waktu dan masa, sedangkan terlalu banyak waktu dan masa, serta peluang.

Berkenaan Tugasan PowerPoint, sila baca dan kenang - PowerPoint. Ulang semula, berkenaan teknik khas, silalah luangkan masa untuk melihat mana-mana teknik dari mana-mana video muzik atau iklan atau filem. Carilah idea, sekurang-kurangnya anda merujuk sesuatu. Sementara itu, syarat tambahan, penggunaan "countdown" atau kira-turun diharamkan sama sekali. Juga, pastikan video melintang (landscape), bukan menegak (portrait). Itu sahaja syarat tambahan buat masa ini.


a z z w a n

Friday, 6 November 2015

Cuti - 2

Antara soalan popular tentang cuti - Sir cuti kan masa cuti midsem, masa cuti sem? Dah jadi macam fatwa bila masuk isu ni. OK, untuk fakta awal, pensyarah bukan cikgu. Cikgu sekolah cuti masa cuti sekolah. Pensyarah tidak. Untuk situasi aku, UKM bagi 25 hari untuk cuti tahunan. Kalau nak cuti, mohon lah cuti ikut sistem. Contoh, Hari Raya Puasa, kau nak cuti 10 hari, cuti lah. Kau nak cuti yang dapat (2 hari), pun boleh, tiada masalah. Kalau nak simpan untuk cuti akhir tahun, simpanlah. Kalau nak carry forward ke tahun hadapan, suka hati kau lah. Yang penting, untuk minggu depan ni, Selasa aku cuti. Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat bergantung. Kalau aku isi borang cuti, cuti lah aku.

Selamat bercuti.


a z z w a n

Thursday, 5 November 2015

Cuti

Selamat bercuti aku ucapkan untuk semua pelajar di bawah kendalian aku. Aku harap anda semua mengambil peluang yang singkat ini untuk menilai kembali kesalahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini, untuk menebus kembali markah yang hilang. Ambil juga peluang untuk berehat dan bersukaria bersama keluarga. Selepas ini, maraton penuh hingga peperiksaan akhir. Ingat, masih ada lagi Amali Makmal 2, dan juga Tugasan PowerPoint. Tidak lupa, Tugasan Access 2. Lihatlah kemeriahan konvokesyen yang baru selesai, jadikan ia motivasi anda semua. Ingat, tiada jalan pintas untuk berjaya. Hati-hati di jalanraya. Semoga anda selamat pulang ke rumah dan selamat kembali ke UKM. Selamat bercuti.


a z z w a n

Friday, 30 October 2015

Makanan

Pertama sekali, kenapa aku rasa ada yang mempertikaikan kewujudan Tugasan Minggu Ini? Kalau kau tak nak buat, tiada masalah, cuma markah 0, ni MAKAN dia, masih tema makanan.

Makanan. Buat orang kenyang. Buat orang suka hati. Buat orang jadi gemuk. Tapi memang tak dinafikan, Malaysia adalah syurga makanan. Macam-macam ada.

Aku malas nak terangkan satu-persatu tempat makan terbaik untuk aku, jadi, lebih mudah, buat senarai, harap tak salah kalau tempat tak wujud dah.

Pulut Ayam (Padang Besar) - Mee Rebus (di celah bangunan, depan Jitra Mall) - Laksa (bawah pokok, berhampiran CMart) - Makanan Laut (Restoren Kak Mona, Kuala Perlis) - Char Kuetiau (berhampiran Yawata, Jitra) - Pau (Kuala Kangsar) - Nasi Kerabu (Pasar Malam Taman Buaya, PCB) - Air Gelas Besar (berhampiran Lapangan Terbang Kuala Terengganu) - Kuetiau Goreng (Restoren Asam Pedas Tok Uban, Bangi) - Nasi Ayam Penyet (IOI Puchong) - Nasi Kukus (Restoren Ulam Ieda, Putrajaya) - Restoren Umai (Putrajaya)


a z z w a n

Thursday, 29 October 2015

Bebel

Tangguh dulu entri "Makanan", nak bebel.

Entahlah. Terlalu banyak yang terjadi kebelakangan ni. Cuma boleh bebel 2-3 perkara.

Pertama, aku tak faham. Kau pernah kelas dengan aku, rasanya kau tahu aku ni mudah mesra, boleh sembang, macam-macam lah kan. Tapi, kau cuma cari aku bila kau susah? Lepas kelas tamat, langsung tak nampak batang hidung, alih-alih kau bertanya. Apa aku ni memang berfungsi masa kau susah? Apa bilik aku tu memang kawasan larangan?

Konvokesyen? Nanti datang lah, kita ambil gambar luar dewan. Kau fikir ini jenaka? Kau nak ambil gambar dengan keluarga, kemudian dengan keluarga mertua (atau bakal), kemudian dengan kawan fakulti, kemudian kawan kolej, kemudian Profesor, kemudian Profesor Madya. Apa kau ingat aku ni tiang di situ? Aku tahu giliran aku. Aku tahu aku ajar subjek picisan. Aplikasi Komputer bukan penting. Ya, aku sedar.


a z z w a n

Wednesday, 28 October 2015

PowerPoint

Entri kali ini adalah satu peringatan untuk semua, berkenaan Tugasan Berkumpulan Microsoft PowerPoint. Setelah perbincangan kecil dibuat, telah dipersetujui bahawa Sesi Perjumpaan Bersama Pembimbing (SPBP) perlu diadakan secara berkala dan ianya akan disertakan dengan markah. Ini adalah untuk memastikan kualiti PowerPoint dan Video terjamin. Buat masa ini, sebaiknya SPBP diadakan mengikut kelapangan anda pada Isnin atau Selasa, 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Masa pertemuan perlu ditetapkan dengan Pembimbing secara berkala.

Di samping itu, disertakan syarat tambahan, untuk dokumen "Storyboard", perlu ada maklumat lengkap berkenaan peralatan yang digunakan (Telefon Bimbit, Komputer Riba dan sebagainya) dan teknik unik yang digunakan untuk Video (perlu nyatakan sumber rujukan).

Harap maklum.


a z z w a n

Thursday, 22 October 2015

Sesal

Sesal bila tak salin nota dengan betul?
Sesal sebab tak fokus dalam kelas?

Aku rasa dan aku tahu, soalan Amali Makmal memang macam soalan bocor. Dah habis latihan dan latihtubi, memang buta-buta jalan cerita sama. Memang ada beza, tapi tak banyak mana. Jadi, kenapa markah macam tak kena dengan gaya yakin dalam kelas? Kenapa soalan tak terlalu banyak dalam kelas? Kenapa?

Jangan lah sesal kalau sebab markah 0.01, tak dapat naik ke gred seterusnya. Ikhlas kan diri. Ini minta 100 patah perkataan, tulis tak sampai sebaris. Takkan nak main-main. Kau dah dewasa kan.

Sesal pun tak guna. Yang penting, kau kena ambil pengajaran. Kena berubah lah. Takkan tak sedar diri lagi kan.

Selamat berjaya.


a z z w a n

Wednesday, 21 October 2015

Tips - 2

Untuk mula, sila klik - Bahagian 1.

Siapa yang hatinya tak hancur luluh, kalau dah buat sehabis baik, tapi rasa macam tak selesai. Rasa macam tak habis jawab Amali Makmal. Rasa macam tertinggal nota. Rasa macam "something wrong somewhere".

Tentang fokus, tak perlu ulang. Tentang usaha, macam tak perlu ulang, tapi, kenalah dengan gaya. Kalau tak faham, tanya. Bukan tak diberi peluang. Bukan tak di"pinpoint" dalam kelas". Nak suruh ulang kalau tak faham, boleh ulang.

Tapi adakah adil kalau kau tak faham, tapi sebenarnya kau sendiri tak usaha nak faham?
Kau sendiri sibuk dengan urusan peribadi, dengan handphone, tambahan pula, tidur dalam kelas.

Tak faham, tapi masuk kelas lambat, keluar nak awal.
Aku tak faham.
Apa kau ingat ilmu ni boleh golek-golek masuk dalam otak kau.
Apa kau ingat kau hebat, tak perlu salin nota dan buat macam pakar.

Suka hati lah. Markah kau, bukan markah aku.


a z z w a n

Friday, 16 October 2015

Beban

Apa yang kita nampak cuma zahir sahaja, gelora dalam hati mungkin Tuhan sahaja yang tahu.

Beban? Kalau lihat dari sudut rasional, semua ini bukanlah beban, cuma tugas, tanggungjawab, amanah dan sebagainya. Bukankah semua itu rencah kehidupan? Bukankah semua ini yang mewarnai hidup kita seadanya.

Kadang-kadang kita sendiri yang menempah beban. Kita sendiri yang rela menerima. Kalau begitu, masihkah bersisa beban yang ada?

Kalau yang tidak dijangka, hadapilah dengan tabah. Kalau hebat, hadapilah dengan senyuman. Apapun, lihatlah dari pelbagai sudut, bukan hanya sudut positif atau negatif.

Sampai satu masa, kita akan faham, inilah yang mendewasakan kita. Beban pun ya, tapi hikmahnya tetap ada.


a z z w a n

Saturday, 10 October 2015

10.10

10.10 untuk tahun ini adalah Hari Sukan Negara. Aku ada juga berusaha untuk memupuk rasa suka bersenam. Untuk bahagian aku, kecil-kecilan, di kalangan pelajar aku sendiri. Bermula akhir semester pendek lepas, aku cuba bermain badminton setiap minggu, setakat ini semuanya di Kolej Ibu Zain. Cuma, minggu ini langsung tiada sesi. Harapnya ianya tidak berakhir begitu sahaja.

10.10 tahun 2010, datuk aku meninggal. Pastinya ada garis memori yang terpahat. Tetapi, kita manusia, mana boleh mengelak kematian. Lumrah alam. Pasti sampai masa kita. Yang penting, cuba yang terbaik untuk pengisian hidup kita. Setakat termampu. Seboleh mungkin. Sayangilah orang di sekeliling kita selagi mereka masih ada.

Al-Fatihah.


a z z w a n

Wednesday, 7 October 2015

Obses

Obses.. Aku tak pasti.. Mungkin aku obses.. Sila baca - sila klik - sila klik satu lagi..

Aku sedar pengurusan masa aku sangat teruk, kelakar dan sebagainya. Mungkin satu masa dahulu, aku sanggup hadap benda di atas sepenuh masa aku di UKM. Aku tak baik dari sudut perangai dan agama, jadi mungkin aku boleh sukses dari sudut ini. Bantu orang, bantu pelajar. Kadang-kadang kudrat, kadang-kadang telinga, kadang-kadang ruang. Setakat termampu.

Aku sedih kalau lihat orang buat sesuatu tetapi tersembunyi agendanya.
Aku terkilan kalau usaha aku sampai satu masa jadi sia-sia.
Aku kecewa kalau ada yang persoalkan tindak-tanduk aku dalam hal ini.

Aku sendiri tak pasti sejauhmana aku mampu begini lagi.
Mungkin aku juga akan pentingkan diri sendiri satu masa nanti.
Mungkin juga.


a z z w a n

Tuesday, 6 October 2015

Aku

Ini coretan aku untuk blog sebelum ini - sila klik.

Bolehlah nak cerita jawapan standard untuk soalan - Sir asal mana?
Jawapan aku - Malaysia.

Kenapa Malaysia? Aku sendiri susah nak kategorikan jawapan ni. Sebab bagi aku asal ni bercampur-baur dengan dilahirkan dan juga dengan dibesarkan.

Aku dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Tak lama selepas tu, aku pindah ke Lahad Datu, Sabah. Aku sempat merasa pendidikan awal di Tabika Kg.Tabanak dan juga beberapa bulan Darjah 1 di Sekolah St.Dominic, Lahad Datu. Kemudian, pindah ke Felda Chuping, Perlis. Sehingga Darjah 6 di sana, tetapi sebelum tamat sesi, pindah kembali ke Seremban, Negeri Sembilan.

Sempat merasa sekolah menengah di Perak, kemudian sambung pengajian di Petaling Jaya (Matrik UIA). Masih di Kuala Lumpur selepas tamat UIA awal, di Taman Melawati. Sekali lagi tamat awal dan ke KYPM (sekarang KPTM) Kota Bharu. Kemudian ke UUM. Dan sekarang, di Bangi, Selangor.

Betul tak? Malaysia.


a z z w a n

Friday, 2 October 2015

Tips - 1

Bagaimana untuk mengharungi kelas En. Azzwan?
(How to survive in Mr. Azzwan's class?)

Sebenarnya, sejujurnya, bukan senang nak survive dalam kelas ni, tapi, kalau difikirkan secara logik, paling penting, kena fokus.

Don't you ever dare to lose your focus in this class especially in following instructions and orders.

Kalau minta buat tugasan, buatlah. Ada dateline, jangan langgar. Kalau langgar pun, make sure silap sekali sudah lah. Ini sampai berkali-kali, lemak la wei.

Kalau minta hantar ikut format, ikut lah. Bukan format tak diberi, bukan format tak diulang. Berbuih mengingatkan.

Kalau suruh letak gambar, letak lah. Nak A, nak keberkatan, tapi tak nak dengar cakap. Nak jadi apa?

Aku takde dah nak ingatkan benda remeh, pandai sendiri lah. Masing-masing pun dah dewasa. Dah boleh jadi pemimpin kononnya.

Good luck.


a z z w a n

Tuesday, 29 September 2015

Mentor

Isu terkini di FEP buat masa ini adalah berkenaan Mentor-Mentee. Pendapat peribadi aku sendiri, sebaiknya berjumpalah dengan mentor anda. Mungkin boleh bincang soal akademik atau mungkin soal kerjaya, kalau tidak soal kehidupan pun.

Kalau di bilik aku ni, boleh sembang macam-macam hal. Tak kisah lah pasal kehidupan, pasal cinta, senang cerita, anything goes.

Aku sedih dan kecewa. Bukan susah nak bertandang ke bilik aku ni. Tak tau lah kalau nasib terlalu malang, asyik datang masa pintu berkunci. Kalau tidak pun, buatlah temujanji. Takkanlah terlalu berat untuk berjumpa 4 kali untuk 1 semester. Kira kasar, sebulan sekali.

Takkanlah sampai mentor kau dah menutup mata, baru kau nak menyesal.
Takkanlah sampai begitu.

Ambillah peluang yang ada, selagi kita masih bernyawa.

Monday, 28 September 2015

Gelagat [s4]

Ada yang namanya Eddie, ada juga Kak Yong. Ada yang pendek sahaja panggilannya, Fa. Ada juga Raihana. Ada yang patutnya Aqilah. Ada yang kononnya Honey Dew, pun ada.

Tak kurang juga yang bercita-cita nak sambung Perakaunan. Hati-hati, realiti tidak seindah impian. Ada yang rasa UKM best, hopefully best la kan. Ada yang baru datang dari UMT.

Ada yang nak lambai tangan (waving), ada yang nak orang tepuk tangan. Ada yang nak promote personal blog, pun boleh. Ada yang bahaya, pernah guna Colt M16 dan sepatutnya masuk UIAM. Ada yang seronok dengan MMM.

Yang terpaksa buat blog? Ramai.
Yang typo? Semasa sendiri. Ada.
Yang salah sebut? Ais panas. Ada.
Yang nak jadi jutawan? Ada. Tapi aku tak nak jadi jutawan.

Puitis? Ada.
Kisah cinta? Ada.
Cliche? Ada.
Yang minta komen tak puas hati? Pun ada.

Kisah raya korban. Kisah tentang korban. Kisah tentang bencana. Kisah tentang sahabat.

Genderisme. Motorisme. Flexible.

Yang paling penting, yang minta bersyukur. Tak lupa juga, “be yourself”. Tak kisah belajar di kampung pun, aku pun pernah, Felda Chuping, Perlis.

Stay high? Janganlah, maksud nampak negatif.

Itu baru gelagat entri minggu pertama.


a z z w a n

[s4] & [s2]

Semester baru. Pelajar baru. Permulaan yang baru. Blog sepatutnya baru. Tapi, aku masih yang lama, mungkin.

Untuk semester ini, aku ajar dua set Aplikasi Komputer, maka, alamat blog pun gabung. [s4] hari Isnin dan [s2] hari Selasa.

Seperti biasa, blog banyak syarat. 100 patah perkataan. 2 entri seminggu. Perlu ada rekabentuk yang menarik. Penulisan bertema. Isu warna. Itu. Ini.

Kebiasaannya, 40-50 blog. Dua kelas, maka, berbeza bilangannya. Buat masa ini, sepatutnya 69 blog. Cabaran baru.

Pesanan awal, berhati-hatilah. Fokus jangan hilang. Ingat, ini markah anda, bukan markah aku. Ada banyak keperluan yang perlu dipenuhi, ada banyak tarikh yang perlu dikejar.

Selamat datang.
Selamat berjaya.
Selamat.


a z z w a n